![]() |
PERBENDAHARAAN MALAYSIA SARAWAK, TINGKAT 16, BANGUNAN SULTAN ISKANDAR, JALAN SIMPANG TIGA, 93592 KUCHING. |
________________________________________________________________________________________________
Ruj. Kami : PKP(S) 124/13 JLD.9(11) Tarikh : 6 Jun 2001
Semua Ketua Jabatan Persekutuan, SARAWAK.
Semua Ketua Badan Berkanun Persekutuan, SARAWAK.
Tuan
SURAT PEKELILING KONTRAK PERBENDAHARAAN MALAYSIA SARAWAK BILANGAN 10 TAHUN 2001
Kontrak Pusat Bagi Pembekalan dan Penghantaran Beras Kepada Semua Jabatan Persekutuan Sarawak (Termasuk Sekolah Kategori 'A' & 'B') Dan Badan Berkanun Persekutuan di Sarawak Untuk Tahun 2001 Hingga Tahun 2003
1 . PERIHAL
1.1 Perbendaharaan Malaysia Sarawak telah mengadakan kontrak pusat bagi Pembekalan dan Penghantaran Beras Kepada Semua Jabatan Persekutuan (Termasuk Sekolah Kategori 'A' & 'B') dan Badan Berkanun Persekutuan di Sarawak bagi tahun 2001 hingga 2003.
2. NOMBOR DAN NAMA KONTRAK
2.1. Nombor Kontrak : Seperti di Lampiran 'A'
Nama Kontrak : Pembekalan dan Penghantaran Beras
3. BUTIR-BUTIR KONTRAKTOR
... 3.1. Nama dan butir-butir kontraktor berkenaan seperti di Lampiran 'A'.
4. TEMPOH KONTRAK
4.1. Tempoh kontrak ialah selama dua (2 ) tahun yang berkuatkuasa mulai 01 Julai 2001 sehingga 30 Jun 2003.
5. HARGA
5.1. Harga di bawah kontrak ini adalah harga bersih (Harga Penyelenggaraan + Harga Beras) bagi lima puluh kilogram (50 kg) Beras termasuk semua cukai serta kos pembungkusan dan penghantaran ke tempat-tempat yang berkaitan.
... 5.2 Penetapan harga ditentukan mengikut Kawasan. Harga dan kawasan untuk bekalan seperti di Lampiran 'A'.
5.3 Harga di bawah kontrak ini mungkin berlaku perubahan dari masa ke semasa mengikut kadar harga beras di pasaran semasa. Sebarang perubahan harga akan dimaklumkan melalui Tambahan kepada Surat Pekeliling Kontrak ini.
6. PENENTUAN
... 6.1. Pejabat ini akan sentiasa mengawasi tentang mutu bekalan supaya menepati penentuan-penentuan yang telah ditetapkan seperti di Lampiran 'B'.
7. TEMPOH PENYERAHAN
7.1. Tempoh penyerahan ialah tiga (3) minggu dari tarikh pesanan rasmi dikeluarkan.
7.2. Jabatan-Jabatan Kerajaan dibenarkan untuk membuat pindaan kepada tempoh penyerahan ini kepada suatu tempoh yang lain tertakluk kepada syarat-syarat berikut:-
7.2.1. Persetujuan pindaan ini dibuat secara bertulis oleh Pegawai Kewangan Persekutuan atau wakilnya dengan kontraktor.
7.2.2. Pindaan tersebut dimaklumkan kepada Perbendaharaan Malaysia Sarawak sebelum barang-barang tersebut diserahkan.
7.2.3. Jabatan berkenaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pesanan yang dibuat di bawah peruntukan ini.
7.3. Barang-barang yang diserahkan oleh kontraktor pada masa dan
tarikh yang ditetapkan di dalam Borang Pesanan tidak boleh
ditolak tanpa arahan secara bertulis daripada pegawai yang
membuat pesanan. Jika penolakan dibuat secara 'ad hoc'
tanpa memberitahu terlebih dahulu kepada kontraktor,
tindakan boleh diambil terhadap pegawai berkenaan termasuk
menanggung segala tuntutan gantirugi oleh kontraktor
berhubung dengan perkara ini. Sebarang penangguhan atau
pindaan kepada tarikh penyerahan hendaklah dibuat secara
bertulis dan sesalinan notis tersebut dihantar kepada
Perbendaharaan Malaysia Sarawak dan Unit yang membuat
bayaran di Jabatan-Jabatan berkenaan.
7.4. Sekiranya Jabatan pemesan telah mematuhi 9.1. dan 10.4. dan kontraktor gagal membuat bekalan dalam tempoh penyerahan kecuali bagi keperluan segera sahaja, Jabatan-Jabatan Kerajaan boleh membeli dari punca-punca lain. Perkara pembelian tersebut hendaklah dilaporkan dengan serta-merta ke Perbendaharaan Malaysia Sarawak dengan menyertakan sekali salinan Pesanan Tempatan dan inbois/bil yang terlibat.
7.5. Sebarang pesanan yang tidak dilaksanakan oleh kontraktor
mengikut tempoh penyerahan dan pembelian dari punca-punca
lain telah dibuat, Jabatan pemesan hendaklah melaporkan
dengan segera kepada Perbendaharaan Malaysia Sarawak
dengan menyatakan nombor kontrak, nombor pesanan tempatan,
tarikh, kuantiti dan nilai pesanan berkenaan. Sekiranya
pesanan tersebut telah diterima sila juga nyatakan tarikh
penerimaannya.
8. PESANAN MINIMA
8.1. Pesanan minima bagi satu pesanan ialah sekurang-kurangnya 500 kilogram atau 10 kampit seminggu.
8.2 Walau bagaimanapun, bagi pesanan yang kurang daripada jumlah tersebut, pihak jabatan boleh berunding dengan pihak kontraktor untuk mendapatkan persetujuan.
9. ANGGARAN KEPERLUAN
9.1. Semua Jabatan pemesan dikehendaki menghantar jadual
anggaran serta jangkamasa keperluan bagi tahun berkenaan
kepada kontraktor dengan segera untuk memudahkan/membolehkan
kontraktor membuat perancangan pembekalan sebagaimana yang
dikehendaki. Satu salinan jadual berkenaan hendaklah
dipanjangkan kepada Pejabat Perbendaharaan Malaysia Sarawak.
9.2. Sekiranya Jabatan pemesan tidak mematuhi arahan pada 9.1. dan 10. 3. kontraktor berkenaan tidak boleh dipersalahkan jika berlaku lewat bekalan kelak.
10. PESANAN
10.1. Pesanan hendaklah dibuat terus kepada kontraktor yang dilantik mengikut kawasan masing-masing dengan mencatatkan nombor kontrak, jenis barang dan kuantiti keperluan. Pesanan terakhir oleh Jabatan mestilah dibuat tidak lewat dari tiga (3) minggu sebelum tarikh tamat kontrak.
10.2. Keperluan yang terlalu banyak janganlah diminta melalui satu pesanan sahaja tetapi hendaklah dipecah-pecahkan kepada beberapa pesanan. Pesanan itu pula hendaklah dijarakkan tempohnya mengikut jangkamasa yang munasabah. Ini akan memudahkan kontraktor membuat bekalan dan seterusnya memudahkan Jabatan pemesan membuat bayaran bagi pesanan-pesanan berkenaan.
10.3 Bagi pemesan di kawasan pendalaman, sekiranya keperluan pesanan kecil dinasihatkan supaya membuat satu pesanan untuk keperluan bagi tempoh tiga/empat bulan sekali supaya jumlah bekalan itu memadai dan senang untuk dilaksanakan oleh kontraktor.
10.4. Jabatan pemesan dikehendaki memberi alamat yang lengkap serta nama pegawai dan nombor telefon masing-masing kepada kontraktor supaya pembekalan dapat dijalankan dengan licin dan tepat pada tempat yang dikehendaki.
11. PEMBUNGKUSAN
11.1. Semua barang yang dipesan akan dibungkus dengan guni yang
telah sedia dibungkus oleh Bernas. Kontraktor dikehendaki
menepati apa-apa arahan bertulis mengenai pembungkusan yang
diberikan dari semasa ke semasa oleh Kerajaan. Setiap guni
bungkusan adalah seberat 50 kilogram dengan Jahitan Dua
Lapis (Double Stiches). Sekiranya Jahitan Dua Lapis (Double
Stiches) didapati telah terbuka semasa barang diterima oleh
Jabatan Pengguna, kontraktor dikehendaki menggantikan barang
berkenaan dalam tempoh 14 hari tanpa apa-apa kos tambahan.
12. PEMERIKSAAN
12.1. Jabatan pemesan hendaklah memeriksa bekalan yang diterima untuk mempastikan bahawa jenis dan jumlah barang yang dibekalkan itu sama seperti yang dipesan. Jika didapati kekurangan, kontraktor hendaklah diminta segera mengganti jumlah yang kurang itu tanpa apa-apa tambahan kos.
12.2. Semua barang-barang yang dibekalkan mestilah berada di dalam
keadaan baik. Barang-barang yang didapati rosak atau cacat
semasa penerimaan hendaklah ditolak dan kontraktor diminta
mengganti dengan bekalan baru tanpa apa-apa tambahan kos.
Penolakan ini hendaklah dibuat serta-merta dan secara
bertulis dan disalinkan kepada Perbendaharaan Malaysia
Sarawak.
13. KAWALAN KUALITI
13.1. Jika ada apa-apa keraguan tentang kualiti barang-barang disebabkan kerosakan pembungkusan, Jabatan pemesan hendaklah meminta kontraktor menggantikan barang-barang yang diragui kualitinya dengan bekalan baru tanpa apa-apa kos tambahan. Penolakan hendaklah dibuat secara bertulis dengan salinan kepada Pegawai Kewangan Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia Sarawak pada hari penolakan itu dibuat. Kontraktor mestilah menggantikan barang-barang tersebut dalam tempoh dua (2) minggu dari tarikh pemberitahuan dikeluarkan.
14. TEMPOH AKHIR PENGADUAN
14.1. Jabatan pengguna hendaklah mengemukakan apa-apa aduan mengenai kontrak ini dengan serta-merta dan tidak lewat daripada tiga (3) bulan selepas tarikh tamat kontrak. Perbendaharaan Malaysia Sarawak tidak akan bertanggungjawab atas apa-apa masalah yang berbangkit akibat dari kegagalan Jabatan mematuhi arahan ini.
15. PEMBAYARAN BIL
15.1. Pembayaran terhadap bil-bil yang dikemukakan oleh kontraktor hendaklah dibuat mengikut tatacara yang ditetapkan oleh Akauntan Negara Malaysia.
15.2. Pembayaran hendaklah dibuat terus kepada kontraktor.
15.3. Bagi pesanan yang telah disempurnakan oleh kontraktor dengan memuaskan, bil mengenai dengannya hendaklah dijelaskan dalam tempoh tiga puluh (30 hari) dari tarikh bil itu diterima.
15.4. Walau apapun peraturan atau tatacara penerimaan barang-barang yang diamalkan oleh sesuatu Jabatan, pengesahan penerimaan barang-barang mestilah dibuat dengan segera pada hari bekalan disempurakan untuk membolehkan kontraktor mengemukakan bil pembayaran dengan seberapa segera. Jabatan tidak perlu menunggu laporan ujian Jabatan Penguji untuk membuat bayaran.
16. PENGGUNAAN KONTRAK
16.1. Semua Kementerian, Jabatan dan Badan Berkanun dan Agensi- Agensi yang berkenaan di bawah kelolaan masing-masing hendaklah menggunakan kontrak ini sahaja dan tidak dibenarkan membeli dari punca lain tanpa kebenaran Pegawai Kewangan Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia Sarawak.
16.2. Penentuan dalam kontrak ini adalah penentuan gunasama pelbagai Jabatan. Sekiranya penentuan itu tidak sesuai dengan keperluan Jabatan Pengguna, sila kemukakan penentuan yang diperlukan, dengan menyatakan perbezaan dari penentuan kontrak ini serta justifikasi mengapa perbezaan itu perlu.
16.3. Perbendaharaan Malaysia Sarawak seterusnya akan menimbangkan pengecualian daripada menggunakan Kontrak Pusat dan perolehan melalui aturcara lain.
17. HAL-HAL LAIN
17.1. Jika terdapat sebarang kemusykilan mengenai kontrak ini, Jabatan pengguna adalah dinasihatkan menghubungi Pejabat Perbendaharaan Malaysia Sarawak seperti di alamat di atas atau melalui telefon no.082-421333 kepada Encik Mohd. Saiful Sungkih bin Abdullah - sambungan 243.
Sekian, terima kasih.
"Sentiasa Mesra, Teliti dan Cepat"
" BERKHIDMAT UNTUK NEGARA "
Saya yang menurut perintah,
t.t.
(HAJI MOHD. ARIFF BIN HAJI YUSOF) Pegawai Kewangan Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia, Sarawak.
Kembali ke Senarai Surat Pekeliling Kontrak Pusat PMS