![]() |
PERBENDAHARAAN MALAYSIA SARAWAK, TINGKAT 16, BANGUNAN SULTAN ISKANDAR, JALAN SIMPANG TIGA, 93592 KUCHING. |
______________________________________________________________________________________
Ruj. Kami : PKP(S)124-1/26/6(9) Tarikh : 2 April 2001
Semua Ketua Jabatan Persekutuan, SARAWAK.
Semua Ketua Badan Berkanun Persekutuan, SARAWAK.
Tuan,
SURAT PEKELILING KONTRAK PERBENDAHARAAN MALAYSIA SARAWAK BILANGAN 6 TAHUN 2001
Kontrak Pusat Bagi Pembekalan dan Penghantaran Telor Ayam Kepada Semua Jabatan Persekutuan, ( Termasuk Sekolah Kategori 'A' & 'B') dan Badan Berkanun Persekutuan Di Sarawak Bagi Bahagian Kapit/Song/Kanowit Bagi Tahun 2001 Hingga 2003
1. PERIHAL
Di maklumkan bahawa Perbendaharaan Malaysia Sarawak telah mewujudkan Kontrak Pusat bagi Pembekalan dan Penghantaran Telor Ayam Kepada Jabatan Persekutuan(Termasuk Sekolah-Sekolah Kategori 'A'& 'B') dan Badan Berkanun Persekutuan bagi Bahagian Kapit/Song/Kanowit Bagi Tahun 2001 Hingga 2003.
2. NOMBOR DAN NAMA KONTRAK
2.1 Nombor Kontrak : PMS/124/KONT/2001-8
Nama Kontrak : Pembekalan dan Penghantaran Telor Ayam
3. BUTIR-BUTIR KONTRAKTOR
3.1 Butir-butir kontraktor untuk kontrak berkenaan seperti di Lampiran 'A'.
4. TEMPOH KONTRAK
4.1 Tempoh kontrak ialah selama dua (2) tahun berkuatkuasa mulai 01 Jun 2001 hingga 31 Mei 2003.
5. HARGA
5.1 Harga di bawah kontrak ini adalah harga bersih bagi satu biji Telor Ayam termasuk semua cukai serta kos pembungkusan dan penghantaran ke tempat-tempat yang berkaitan. 5.2 Penetapan harga ditentukan mengikut Kawasan. Harga dan Kawasan untuk bekalan seperti di Lampiran 'A'.
6. PENENTUAN
6.1 Pejabat ini akan mengawasi mutu bekalan supaya menepati penentuan-penentuan yang ditetapkan seperti di Lampiran 'B'.
7. TEMPOH PENYERAHAN
7.1 Tempoh penyerahan ialah tiga (3) minggu dari tarikh pesanan rasmi dikeluarkan.
7.2 Jabatan Kerajaan dibenarkan membuat pindaan kepada tempoh penyerahan ini kepada suatu tempoh yang lain tertakluk kepada syarat berikut:-
7.2.1 Persetujuan pindaan ini dibuat secara bertulis oleh Pegawai Kewangan Persekutuan atau wakilnya dengan kontraktor.
7.2.2 Pindaan tersebut dimaklumkan kepada Perbendaharaan Malaysia Sarawak sebelum barang tersebut diserahkan.
7.2.3 Jabatan berkenaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pesanan yang dibuat di bawah peruntukan ini.
7.3 Barang yang diserahkan oleh kontraktor pada masa dan tarikh yang ditetapkan di dalam Borang Pesanan tidak boleh ditolak tanpa arahan secara bertulis daripada pegawai yang membuat pesanan. Jika penolakan dibuat secara 'ad hoc' tanpa memberitahu terlebih dahulu kepada kontraktor,tindakan boleh diambil terhadap pegawai berkenaan termasuk menanggung segala tuntutan gantirugi oleh kontraktor berhubung dengan perkara ini. Sebarang penangguhan atau pindaan kepada tarikh penyerahan hendaklah dibuat secara bertulis dan sesalinan notis tersebut dihantar kepada Perbendaharaan Malaysia Sarawak dan Unit yang membuat bayaran di Jabatan-Jabatan berkenaan.
7.4 Sekiranya Jabatan pemesan telah mematuhi 9.1. dan 10.3 dan kontraktor gagal membuat bekalan dalam tempoh penyerahan kecuali bagi keperluan segera sahaja, Jabatan-Jabatan Kerajaan boleh membeli dari punca-punca lain. Perkara pembelian tersebut hendaklah dilaporkan dengan serta-merta ke Perbendaharaan Malaysia Sarawak dengan menyertakan sekali salinan Pesanan Tempatan dan inbois/bil yang terlibat.
7.5 Sebarang pesanan yang tidak dilaksanakan oleh kontraktor mengikut tempoh penyerahan dan pembelian dari punca-punca lain telah dibuat, Jabatan pemesan hendaklah melaporkan dengan segera kepada Perbendaharaan Malaysia Sarawak dengan menyatakan nombor kontrak, nombor pesanan tempatan, tarikh, kuantiti dan nilai pesanan berkenaan. Sekiranya pesanan tersebut telah diterima sila juga nyatakan tarikh penerimaannya.
8. PESANAN MINIMA
8.1 Pesanan minima bagi tiap-tiap satu pesanan untuk satu destinasi tidak kurang daripada tiga ratus (300) biji telor. Walau bagimanapun bagi pesanan yang kurang daripada jumlah tersebut pihak jabatan bolehlah berunding dengan kontraktor untuk mendapatkan persetujuan.
9. ANGGARAN KEPERLUAN
9.1 Semua Jabatan pemesan dikehendaki menghantar jadual anggaran serta jangkamasa keperluan bagi tahun berkenaan kepada kontraktor dengan segera untuk memudahkan/ membolehkan kontraktor membuat perancangan pembekalan sebagaimana yang dikehendaki. Satu salinan jadual berkenaan hendaklah dipanjangkan kepada Perbendaharaan Malaysia Sarawak.
9.2 Sekiranya Jabatan pemesan tidak mematuhi arahan pada 9.1. dan 10.3. kontraktor berkenaan tidak boleh dipersalahkan jika berlaku lewat bekalan kelak.
10. PESANAN
10.1 Semua pesanan hendaklah dibuat terus kepada kontraktor yang dilantik mengikut kawasan masing-masing dengan mencatatkan nombor kontrak, jenis barang dan kuantiti keperluan. Pesanan terakhir oleh Jabatan mestilah dibuat tidak lewat dari tiga (3) minggu sebelum tarikh tamat kontrak.
10.2 Keperluan yang terlalu banyak janganlah diminta melalui satu pesanan sahaja tetapi hendaklah dipecah-pecahkan kepada beberapa pesanan. Pesanan-pesanan itu pula hendaklah dijarakkan tempoh mengikut jangkamasa yang munasabah. Ini akan memudahkan kontraktor membuat bekalan dan seterusnya memudahkan Jabatan pemesan membuat bayaran bagi pesanan-pesanan berkenaan.
10.3 Jabatan pemesan dikehendaki memberi alamat yang lengkap serta nama pegawai dan nombor telefon masing-masing kepada kontraktor supaya pembekalan dapat dijalankan dengan licin dan tepat pada tempat yang dikehendaki.
11. PEMBUNGKUSAN
11.1 Semua barang yang dipesan akan dibungkus dengan sempurna bagi melindungi daripada sebarang kerosakan atau kehilangan. Jika terdapat apa-apa kerosakan atau kehilangan yang disebabkan oleh pembungkusan yang tidak sempurna, kontraktor hendaklah diminta ganti dengan bekalan baru dalam tempoh empat belas (14) hari tanpa apa-apa tambahan kos.
12. PEMERIKSAAN
12.1 Jabatan pemesan hendaklah memeriksa bekalan yang diterima untuk mempastikan bahawa jenis dan jumlah barang yang dibekalkan itu sama seperti yang dipesan. Jika didapati kekurangan, kontraktor hendaklah diminta segera mengganti jumlah yang kurang itu tanpa apa-apa tambahan kos.
12.2 Semua barang yang dibekalkan mestilah berada di dalam keadaan baik. Barang yang didapati rosak atau cacat semasa penerimaan hendaklah ditolak dan kontraktor diminta mengganti dengan bekalan baru tanpa apa-apa tambahan kos. Penolakan ini hendaklah dibuat serta-merta dan secara bertulis dan disalinkan kepada Perbendaharaan Malaysia Sarawak.
13. KAWALAN KUALITI
13.1 Jika ada apa-apa keraguan tentang kualiti barang disebabkan kerosakan pembungkusan, Jabatan pemesan hendaklah meminta kontraktor menggantikan barang yang diragui kualitinya dengan bekalan baru tanpa apa-apa kos tambahan. Penolakan hendaklah dibuat secara bertulis dengan salinan kepada Pegawai Kewangan Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia Sarawak pada hari penolakan itu dibuat. Kontraktor mestilah menggantikan barang-barang tersebut dalam tempoh dua (2) minggu dari tarikh pemberitahuan dikeluarkan.
14. TEMPOH AKHIR PENGADUAN
14.1 Jabatan pengguna hendaklah mengemukakan apa-apa aduan mengenai kontrak ini dengan serta-merta dan tidak lewat daripada tiga (3) bulan selepas tarikh tamat kontrak. Perbendaharaan Malaysia Sarawak tidak akan bertanggungjawab atas apa-apa masalah yang berbangkit akibat dari kegagalan Jabatan mematuhi arahan ini.
15. PEMBAYARAN BIL
15.1 Pembayaran terhadap bil-bil yang dikemukakan oleh kontraktor hendaklah dibuat mengikut tatacara yang ditetapkan oleh Akauntan Negara Malaysia.
15.2 Pembayaran hendaklah dibuat terus kepada kontraktor.
15.3 Bagi pesanan yang telah disempurnakan oleh kontraktor dengan memuaskan, bil mengenainya hendaklah dijelaskan dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh bil itu diterima.
15.4 Walau apapun peraturan atau tatacara penerimaan barang-barang yang diamalkan oleh sesuatu Jabatan, pengesahan penerimaan barang-barang mestilah dibuat dengan segera pada hari bekalan disempurnakan untuk membolehkan kontraktor mengemukakan bil pembayaran dengan seberapa segera. Jabatan tidak perlu menunggu laporan ujian Jabatan Penguji untuk membuat bayaran.
16. PENGGUNAAN KONTRAK
16.1 Semua Kementerian, Jabatan dan Badan Berkanun dan Agensi-Agensi yang berkenaan di bawah kelolaan masing-masing hendaklah menggunakan kontrak ini sahaja dan tidak dibenarkan membeli dari punca lain tanpa kebenaran Pegawai Kewangan Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia Sarawak.
16.2 Penentuan dalam kontrak ini adalah penentuan gunasama pelbagai Jabatan. Sekiranya penentuan itu tidak sesuai dengan keperluan Jabatan Pengguna, sila kemukakan penentuan yang diperlukan, dengan menyatakan perbezaan dari penentuan kontrak ini serta justifikasi mengapa perbezaan itu perlu.
16.3 Perbendaharaan Malaysia Sarawak seterusnya akan menimbangkan pengecualian daripada menggunakan Kontrak Pusat dan perolehan melalui aturcara lain.
17. HAL-HAL LAIN
17.1 Jika terdapat sebarang kemusykilan mengenai kontrak ini, Jabatan Pengguna dinasihatkan menghubungi Perbendaharaan Malaysia Sarawak seperti di alamat di atas atau melalui telefon no. 082-421333 kepada Encik Mohd.Saiful Sungkih bin Abdullah - sambungan 243.
Sekian, terima kasih.
"Sentiasa Mesra, Teliti dan Cepat" " BERKHIDMAT UNTUK NEGARA " Saya yang menurut perintah,
t.t.
(HAJI MOHD. ARIFF BIN HAJI YUSOF) Pegawai Kewangan Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia, Sarawak.
LAMPIRAN 'A'
HARGA KONTRAK KERAJAAN BAGI SATU BIJI TELOR AYAM UNTUK SEMUA JABATAN PERSEKUTUAN (TERMASUK SEKOLAH KATEGORI 'A' & 'B') DAN BADAN BERKANUN PERSEKUTUAN DI SARAWAK BAGI KAWASAN KAPIT/SONG/KANOWIT BAGI TAHUN 2001-2003
| Bil | Nama/Alamat Kontraktor Dan No. Kontrak | No. Telefon/Fax/ No. Akaun Bank |
Kawasan | Harga Kontrak (Sebiji Telor) | |||
| Gred 'A' |
Gred 'B' | Gred 'C,' | |||||
1. |
Syarikat Sri Puyu Tingkat 2, Lot 345 Bangunan MARA Jalan Tiong Ung Hung P.O. Box 170 96807 Kuching PMS/124/KONT/2001-8 |
Tel : 084-797313 Fax : 084-798121 EON Bank Kapit |
Kapit/Song/Kanowit | Sekolah Kat. 'A'/ |
0.29 | 0.27 | 0.25 |
Sekolah Kat. 'B' |
0.32 | 0.30 | 0.28 | ||||
LAMPIRAN'B'
GRED, SPESIFIKASI TELOR AYAM DAN SYARAT PEMBUNGKUSAN
1. GRED TELOR
GRED 'A' GRED 'B' GRED 'C' Panjang : 6.4 cm
Ukurlilit : 14.8 cm
Berat : 72 gmPanjang : 6.3 cm
Ukurlilit : 13.6 cm
Berat : 63 gmPanjang : 6 cm
Ukurlilit : 13.8 cm
Berat : 60 gm
2. SPESIFIKASI TELOR
Telor-telor hendaklah mempunyai ciri-ciri berikut :- 2.1 Luar Telor :
Bersih, tidak pecah / retak dan biasa (normal)
2.2 Dalam Telor:
(a) Bebas daripada kesan-kesan darah, garis-garis dan "watery-white".
(b) Ruang udara hendaklah tidak melebihi 0.3 cm dalam (depth) daripada hujung bahagian telor yang besar.
(c) "Ujian Candling" menunjukkan merah telor yang samar-samar(fainthly visible) atau lutcahaya (translucent).
3. PEMBUNGKUSAN
3.1 Telor hendaklah disusun di dalam "Papermache" dengan bahagian besar telor menghala ke atas. "Papermache" itu hendaklah bersih, baru dan kering dan tidak memberi apa-apa kesan dan bau kepada telor itu.
3.2 Telor yang retak atau pecah hendaklah diganti tanpa sebarang bayaran pada hari penghantaran itu juga. Telor yang kemudiannya didapati tidak baik atau tembelang/busuk dalam tempoh empat (4) hari hendaklah ditukar tanpa sebarang bayaran.