SURAT PEKELILING PERBENDAHARAAN MALAYSIA SARAWAK
Semua Ketua Jabatan Persekutuan, Ruj. Kami : PKP(S)214 Jld.4(26) Sarawak. Tarikh : 29 November 2000
Semua Ketua Badan Berkanun Persekutuan, Sarawak.
Semua Ketua Jabatan Negeri, Sarawak. (Yang Mengurus Peruntukan Persekutuan)
Semua Ketua Badan Berkanun Negeri, Sarawak. (Yang Mengurus Peruntukan Persekutuan)
Tuan,
SURAT PEKELILING PERBENDAHARAAN MALAYSIA SARAWAK BILANGAN 1 TAHUN 2001
TARIKH TUTUP TENDER DAN TARIKH MESYUARAT LEMBAGA PEROLEHAN PERSEKUTUAN PERINGKAT NEGERI, SARAWAK BAGI TAHUN 2001
PENDAHULUAN
1. Saya diarah menarik perhatian tuan kepada perkara yang tersebut di atas dan sebagaimana tuan sedia maklum bahawa Perbendaharaan Malaysia Sarawak ialah urusetia kepada Lembaga Perolehan Persekutuan Peringkat Negeri, Sarawak. Sehubungan dengan ini, segala urusan mengenai penerimaan borang tender, penyediaan peti tender, pembukaan peti tender dan mesyuarat Lembaga Perolehan Persekutuan Peringkat Negeri bagi perolehan di bawah peruntukan kewangan Persekutuan yang melebihi RM 200,000.00 adalah di bawah tanggungjawab Perbendaharaan Malaysia Sarawak. Semua urusan mengenai tender hendaklah dialamatkan kepada :-
Pengerusi, Lembaga Perolehan Persekutuan Peringkat Negeri, Perbendaharaan Malaysia Sarawak, Tingkat 16, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, 93592 Kuching.
TARIKH TUTUP TENDER
2. Jadual lengkap bagi tarikh tutup tender adalah seperti di Lampiran 'A'. Walau bagaimanapun, jika ada kes-kes tertentu yang tidak dapat dielakkan, pindaan pada jadual tersebut bolehlah dibuat dengan persetujuan Perbendaharaan Malaysia Sarawak.
3. Sebelum tender dipanggil, semua Jabatan dinasihatkan supaya menyemak Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 2 Tahun 1995 mengenai tatacara penyediaan, penilaian dan penerimaan tender dan Tambahan Pertama dan Kedua Surat Pekeliling Perbendaharaan tersebut.
4. Semasa dokumen tender hendak dijual atau diberi kepada kontraktor, semua Jabatan hendaklah menyemak Surat Pendaftaran Asal Kontraktor atau Salinan Surat Pendaftaran yang disahkan oleh pihak yang mengeluarkannya sahaja bagi memastikan kontraktor telah berdaftar, memastikan taraf atau kelas, tempoh pendaftaran masih lagi sah dan bidang pendaftaran berkaitan dengan bidang tender yang dipelawa oleh Jabatan. Sebagaimana tuan/puan sedia maklum, Perbendaharaan Malaysia Sarawak mengeluarkan tiga (3) sijil pendaftaran iaitu Sijil Akaun Pendaftaran Kontraktor, Akaun Pendaftaran Kontraktor Bumiputera dan Sijil Tambah Bidang.
5. Semua Jabatan hendaklah memberitahu Perbendaharaan Malaysia Sarawak iklan tender yang akan disiarkan bagi memudahkan Perbendaharaan Malaysia Sarawak menyediakan peti tender.
TARIKH MESYUARAT LEMBAGA PEROLEHAN PERSEKUTUAN
6. Jadual lengkap bagi tarikh Mesyuarat Lembaga Perolehan Persekutuan Peringkat Negeri adalah seperti di Lampiran 'B'. Walau bagaimanapun, jika ada kes-kes tertentu yang tidak dapat dielakkan, pindaan pada jadual tersebut akan dibuat.
7. Semua Jabatan dikehendaki mengemukakan enam (6) salinan dokumen- dokumen berikut kepada Pengerusi,Lembaga Perolehan Persekutuan Peringkat Negeri Sarawak untuk dibentangkan di dalam Mesyuarat Lembaga Perolehan Persekutuan iaitu :-
a. Kertas Taklimat Tendet yang ditandatangani oleh Ketua Jabatan
b. Laporan Juruperunding (jika ada)
c. Laporan Teknikal atau Laporan Ujian dan Pemeriksaan yang ditandatangani oleh pihak berkenaan (jika ada)
d. Salinan Iklan Surat Khabar
e. Salinan Dokumen Tender termasuk syarat-syarat dan Penentuan Tender(Specification)
f. Salinan Jadual Pembukaan Tender
g. Dokumen-dokumen lain yang penting untuk perhatian Lembaga Perolehan Persekutuan
Kertas Taklimat Tender hendaklah disediakan dengan jelas dan lengkap dan mengandungi perkara-perkara berkenaan seperti contoh di Lampiran 'C'.
8. Semua maklumat mengenai sesuatu tender, sebelum keputusan muktamad dibuat adalah RAHSIA dan tidak boleh disebarkan kepada mana-mana pihak yang tidak terlibat dengan tender berkenaan.
9. Perbendaharaan Malaysia Sarawak berharap semua Jabatan dapat mematuhi peraturaan ini dan jika ada apa-apa masalah, sukacita dapat berhubung dengan Perbendaharaan Malaysia Sarawak bagi penjelasan lanjut.
Sekian, terima kasih.
"Amanah, Cekap Dan Berkesan"
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
Saya yang menurut perintah, t.t. (AMIR BIN HJ. ABD. HAMID) b.p. Pegawai Kewangan Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia, Sarawak.